Wednesday, November 7, 2012

WASIATKU UNTUKMU ANAK.




Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw.
Semoga dicucuri rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan di alam ini.

Anakku!
Carilah beberapa wadah yang membina modal insan.
Pelihara dan sayangi apa yang kamu ada.
Imbangi yang hak kepada yang berhak dan ketahuilah tiada cuti bagi seorang pejuang.

Anakku!
Ada mereka yang tiada negara ada mereka yang menumpang di negeri sendiri maka pertahan tanah airmu sendiri.
Anak ku jangan yang diburu tak dapat yang dikendung berciciran.
Jauhi fitnah kerana ianya akan merosakan kamu.
Carilah rakan dan teman yang boleh dijadikan cermin diri.
Jika kau memilih tukang besi sebagai kawan maka kau akan selalu merasakan kepanasan dapurnya bila dia kau dekati.
Tetapi jika kau memilih bersahabat dengan si penjual minyak wangi, kau akan sentiasa menghidu wanginya walaupun kau tidak memakai minyak wangi itu.

Anakku!
Bersilaturrahimlah, imbangi yang hak kepada yang berhak.
Dirimu ada haknya, keluargamu ada haknya.
Ayah dan ibu pun ada haknya.
Jiran, masyarakat, negara dan agama ada haknya.
Tunaikan ia sebaik mungkin.
Ingat anakku jangan kau leka dan asik lena daripada menunaikan hak-hak ini.
Kau mungkin masih muda dan mahu bersiar-siar dan berseronok.
Jawab ayah boleh tetapi ada hadnya anakku.
Habiskan masa masamu dengan memberi sedikit ruang untuk dirimu bermunajat kepada Allah.
Jangan dihabisi dengan sembang-sembang kosong di tepi-tepi jalan.
Rehatlah dengan cukup dan tidurlah bilamana semua orang tidur kerana tenagamu amat tinggi harganya untuk diguna pakai pada kesesokan hari.

Anakku!
Jaga auratmu kerana ayah tidak berupaya berada di sisimu setiap masa dan setiap tempat. Jagalah maruah ayah dan ibu yang kamu adalah anak yang baik.
Tidak memeningkan kepala ayah ibu. Tidak menyusahkan ayah ibu dan sentiasa menghormati kami berdua.
Rumah kita dan kereta yang ayah beli mungkin menjadi milikmu satu hari nanti kerana ayah tidak akan mampu membawanya ke dalam kubur ayah kelak.
Kemungkinan wang simpanan KWSP ayah pun tidak tahu samaada ayah sempat menggunakannya untuk pergi ke Tanah Suci atau membayar kembali pinjaman peribadi ayah kepada bank.

Anakku selalulah berdoa.
Berdoalah agar Allah SWT sentiasa melindungi mu.
Pintalah semoga dikekalkan hati mu sentiasa di jalan yang benar.
Pintalah semoga diterangkan hati mu dengan cahaya rabbani yang tidak kunjung malap. Pintalah agar dilapangkan hati mu dengan nur iman, keyakinan dan keteguhan tawakkal. Pintalah dalam doamu itu kehidupan seorang pejuang dan kematian mu sebagai para syuhada dalam memperjuangkan agama Mu.

Anakku!
Dengarlah betul-betul dan fikir-fikirkan.
Ini adalah kerana ayah mu tidak akan sentiasa di sisi mu nanti.

Nukilan : A MOSAINI PG

No comments:

Post a Comment

Jadikan diri kita menjadi lebih baik hari ke hari- (Part 1)

1.  Dekatkan diri dengan Allah Bagaiman kita ingin hidup bahagian dan tenang di alam yang penuh dengan ragam jahat dengan baik ini jika...